Monday, 4 September 2017

Masak korea lagi..kali ni saya buat Japchae tau!

Assalam sahabat-sahabat semua,

Hari ni saya nak share satu lagi resepi orang Korea, Japchae. Resepi ni simple aje bahan-bahan dia lebih kurang macam buat bibimbap cuma mereka gantikan nasi kepada suun atau meehoon. Tapi saya gunakan sebijik glass noodle seperti resepi asal.
Bahan-bahan ni untuk dua orang makan tau

1 paket Glass Noodle jenama Singlong (saya rebus separuh aje)
1 cawan daging (bersihkan dan potong kecil-kecil)
1 cawan carrot
1 cawan cili capsicum
1 cawan cendawan shitake (rendam semalaman dan hiris)
1-2 cawan sayur bayam (bersihkan dan celur kedalam air panas)
½ biji bawang belanda
1 cawan daun bawang
2 ulas bawang putih
2 sudu makan bijan panggang
2-3 sudu minyak bijan
2-5 sudu makan kicap soya
2-4 sudu makan gula perang/brown sugar
1 sudu makan serbuk lada hitam/black paper
1 biji telur
Sedikit serbuk kunyit

Jom kita masak
Didalam mangkuk satukan daging, cendawan shitake, 1 ulas bawang putih cincang, 1 sudu makan gula perang, 1-2 sudu makan kicap soya, 1 sudu teh minyak bijan dan 1 sudu teh serbuk lada hitam. Gaulkan dan perap ½ jam atau 1 jam.
Telur ayam dibuat telur dadar..jangan lupa boh sikit serbuk kunyit sebab nak bagi warna telur dadar tu cantik. Kemudian bila sejuk gulung dan hiris nipis2
Carrot, cili capsicum dan daun bawang di potong memanjang. Bawang Holland dihiris2. Jika ada yang nak tambah bahan lain seperti cendawan butang putih atau sebagainya boleh tapi make sure sayur2 yang tak berair ye!

Bersihkan sayur bayam dan celur seketika. Kemudian toskan kemudian genggam dan picit2 sikit untuk buang air bayam tu. Kita tak mahu japchare kita berair.

Ambil 1 mangkuk besar dan susunkan bayam tadi kedalamnya. Kalau bayam tu besar2 potong sikit ye kemudian gaulkan dengan sedikit minyak bijan dan kicap soya.
Rebus glass noodle sehingga lembut dan bertukar warna. Kalau noodles tu panjang takut sekse nak makan nanti gunting2 sikit ye. Toskan airnya dan alihkan kedalam mangkuk bayam tadi dan tambahkan 1sudu teh minyak bijan, 1 susu makan soya, 1 sudu teh gula perang dan gaulkan sebati. Lupa pula…jangan gaulkan dengan bayam tu sekali tau. Susun mereka sebelah2 hihihi

Ok sekarang part menggoreng pula.
Mula2 dengan sedikit minyak goreng bawang belanda dan daun bawang. Goreng kejab & manja2 tau dan tabor sikit je garam.
Seteruskan goreng pula carrot dan sedikit garam. Goreng hingga lembut bukan lembek tau.
Kemudian kita goreng pula cili capsicum pun sama macam goreng carrot.
Last sekali kita goreng bahan perap tadi iaitu daging dan cendawan shitake. Masak sehingga daging bertukar warna dan lembut.

Mungkin ada yang akan tanya kenapa tak goreng semua sekali. Ok ok .. setiap bahan masa menggorengnya tak sama. Takut nanti ada yang over cook la atau terkeras pula.

Setiap kali lepas goreng susun kedalam mangkuk besar tadi dan ulang menggoreng bahan2 lain. Memang renyah tapi percaya la hasil dia memang sedap.
Bila semua dah bersatu dalam mangkuk besar tadi kita cincang seulas bawang putih, 1 susu makan kicap soya, 1 sudu teh gula perang, ½ sudu teh black paper, 1 sudu teh minyak bijan, ½ sudu teh bijan panggan dan telur dadar hiris. Ahh part yang ditunggu-tunggu..kita gaulkan kesemuanya dan waktu ni kita boleh lah rasa apa yang kurang.
Alihkan kedalam pinggan atau mangkuk baru yang cantik-cantik dan tabur lagi bijan panggang. Siap dah kerja kita dan boleh makan!

Japchae ni sedap lebih kurang macam salad. Yang berdiet tu sesuai kot kalau makan japchae ni. Ada sayur ada daging dan rasa dia memang sedap.

Selamat mencuba .. Love you!

Monday, 7 August 2017

Sambal Totok

Assalam kesayangan semua

Kali ni saya nak share satu resepi yang saya makan dekat rumah kakak ipar saya...dah lama. Saya tak tahu nama sambal tu tapi sedap sangat sampai kena tegur sebab tak makan lauk2 lain walhal hari tu dia masak sikit punya banyak dari masak lemak udang, sambal sotong, kambing black paper, daging salai masak lemak..ishh berderet-deret sungguh lauk hihihihi

Jadi saya tanya resepi dan cara dia masak sambal tu. Dia cakap "Akak potong semua bahan-bahan ni kemudian akak tumbuk dengan ikan bilis. Bila dah hancur akak goreng dengan sikit minyak...tapi make sure minyak tu panas sebab kita nak goreng kejab je. Jangan ijan goreng lama nanti tak sedap". Saya main pakai ingat aje resepi yang dia cakap..sikit pun tak tanya nama sambal tu!

Kelmarin saya share gambar sambal yang saya masak ni dalam instagram tetiba ada sorang hamba Allah ni bagi tahu yang resepi tu namanya sambal totok. La yeke! cumanya saya tambah petai. Suami pula cakap sambal GOKTOK [teringat cerita Ahmad Albab]

Kalau resepi saya ni kurang itu ini harap dapat la kawan-kawan betulkan ye..

Bahan-bahannya iailah

Segenggam Ikan bilis [saya beli yang kecil-kecil]
Sebab suami takut pedas saya boh 5-10 je Cili api
2 ulas bawang putih
2-4 biji bawang merah [yang kecil-kecil sebab tu aje yang ada]
Petai 1/2 papan aje [suami tak suka]
1-2 biji limau kasturi/nipis
Ni lah bahan-bahannya
Mula-mula saya panaskan minyak kemudian gorengkan semuanya sampai layu-layu gitu last baru masukkan petai. Goreng sekejab tau tak mahu petai tu lembek.

Asingkan petai dan tumbuk kesemuanya. Saya suka tumbuk yang tak berapa nak hancur dan perasakan dengan sikit garam.
Akhir sekali gaulkan dengan bahan-bahan tumbuk tadi. Dan jangan lupa perahkan sedikit air limau. Rasa dahulu sebelum hidang. Saya kadang tu tak sempat nak hidangkan..saya dah ratah dekat dapur sampai kena marah dengan suami.
Sedap makan dengan nasi panas. Dalam gambar ni sambal tu sedikit kering sebab waktu tumis tu saya terkurang minyak dan limau pula ada sebiji aje. Takpa la next time saya adjust bagi sedap lagi!

Selamat memasak semua...Love you! muah! muah!


Thursday, 13 July 2017

'Mee Rebus' Terengganu

Assalamualaikum selamat hari raya semua

Seperti biasa saya nak share resepi dan resepi kali ni adalah mee rebus ataupun mee sup simple. Baru-baru ni dalam FB ada yang share resepi Mee Rebus Lajen Terengganu ramai pula yang berbalas diruang komen tentang ayat mee rebus tu sebab setahunya kalau kata mee rebus tentu terbayang kuah warna merahkan. Rupanya orang Ganu sebut mee sup tu mee rebus.
Al kisahnya....
Rasanya resepi masak mee rebus ni memang biasa kot cuma ikut kita nak tambah bahan-bahan! Macam saya boh isi ayam, fish ball, telur & sayur sawi pun dah sedap dah tu. Kakak saya pula kata ni resepi mee sup orang malas hihihi

Jom tengok resepi saya untuk 2 orang ni

4-5 biji bawang merah 
2 ulas bawang putih
1/2 sudu biji lada hitam

2 cawan isi ayam
2 cawan fish ball
3-4 biji cili api
sepaket mee kuning
1/2 bungkus kiub ikan bilis
2 biji telur ayam
segenggam sayur sawi
1-2 mangkuk air

Ok..jom kita masak

1. Kupas bawang merah dan bawang putih racik-racik kemudian tumbuk bersama dengan lada hitam. 

2. Selepas tu panaskan minyak tumis hingga wangi dan masukkan isi ayam dan carrot. Masak hingga ayam berubah warna dan masukkan air.
 suami saya tolong tumbukkan tapi yang masak2 tu saya
Akhirnya cili tu saya masukkan 3 biji je sebab suami marah!
3. Fish ball saya beli tu besar-besar jadi saya belah 4. Ikutkan saya suka sayur sawi je tapi suami suruh masukkan carrot dan korang boleh lah tambahkan bahan-bahan kesukaan..takpe silakan. 

4. Bila kuah sup tadi mendidih masukkan mereka-mereka ni. Saya tahu lada hitam tu dah pedas tapi saya tetap masukkan cili api sebab saya malas nak buat sambal kicap.
Mee kuning tu saya celur separuh je.
5. Jangan lupa boh sikit serbuk ikan bilis, garam dan gula ye. 

6. Selalunya telur tu bila nak makan nanti baru saya panaskan semula supnya dan masak sebab suami nak telur tu 1/2 masak [banyak pulak ayat Masak]
  Alhamdulillah...siap dah

Simplekan...saya dan suami biasa makan mee sup ala-ala ni dekat tepi pantai Teluk Kemang. Memang sedap bayangkan lepas mandi manda badan pun sejuk dan hirup pula sup panas!

Selamat mencuba ....Love you!

Monday, 20 March 2017

Hati dan Pedal masak Blackpaper


Assalam semua ..

Yang kerja2 opis ni atau apa saje kerja sure ada masa2 tertentu korang kena bawa masakan keopiskan...alah apa namanya, Potluck. Sama la macam saya. Macam cerita2 saya yang lepas..saya memang tak pandai masak. Jadi time potluck ni saya main beli aje. Last2 ritu sesiapa yang suka beli je kena sound. Mereka kalau boleh nak masakan yang kita sendiri yang masak.

Balik aje rumah mula la kepala ni dok memikir. Menu utama nasi lemak. Tadi bermacam2 sambal yang saya dengar mereka nak bawa. Saya ni nak bawa apa?..Last2 saya teringat pedal dan hati ayam yang biasa saya makan dekat gerai tepi padang Taman Permata, Ulu Kelang, gerai Uncle Zam. Macam biasa saya mula la google.

Macam2 versi resepi pedal & hati ayam masak kicap ni. Tapi entah bila time masak saya main tambah sos blackpaper ituini segala apa yang ada dalam peti ais...maka jadilah resepi ni. Nasib sedap...laku habis, kering kontang Tupperware saya!

Bahan2nya
1-2 paket Pedal ayam
1-2 paket Hati ayam

1 biji bawang besar/bawang belanda
2 ulas bawang putih
Sikit je halia
Sikit je lada hitam tumbuk
10 biji cili api hijau & merah atau lebih (lagi pedeh lagi sedap)
Sikit je Kiub ayam knorr (terpulang ikut deria rasa masing2)
1 sudu kecil Kicap pekat
2-4 sudu besar Kicap manis
2-4 sudu besar Sos lada hitam brand Singlong
Air pun sikit juga

Cara2

1. Pedal & hati tu bersihkan dulu pastu rebus. Bila dah masak sejukkan pastu macam biase, potong la kecik2.

2. Dalam kuali ke, pan ke … tumis bawang besar, putih & halia yang dah dihiris2

3. Bila dan kekuningan masukkan sikit air, pastu baru la masukkan semua kicap2 tu, cili padi, kiub ayam, lada hitam. Masak kejab…
1. Saya tumis dulu bawang2 dan halia sampai layu kemudian saya masukkan hati2. goreng sekejab.
2. Pastu masukkan la pepedal dan gaul2 rata dalam seminit kemudian masukkan kesemua kicap dan masak sampai kuah pekat. Jangan lupa boh air sikit...sikit je tau!
3. Pastu taburkan cili api, sedikit garam dan kiub ayam iya.
So macam ni la rupanya pedal & hati kicap saya. Sedap ke idak saya tak janji tau. Resepi saya ni pedas juga sebab dah ada cili padi dan blackpaper. Saya pun main masak aje ni. Kalau time masak suami saya ada sure dikurangkannya cili (selalunya 5 biji je) dan dia akan tunggu saya menumis sebab dia tahu saya tak ikut cakap dia. 5 biji je .. budak2 pun ketawa!

Selamat mencuba. Love you!

Monday, 6 March 2017

Sosej masak Paprik


Assalam semua

Saya ni tak pandai masak tau..kalau time rajin nak masak tu mula la saya sibuk goggle atau tanya member2.

Selalunya setiap sabtu suami saya kerja, jadi setiap2 jumaat, suami akan tanya “besok nak masak apa”. Bab ni la yang paling saya tak nak dengar. Saya paham dia takut saya tak makan nanti! Saya ni tak reti nak bawa kereta mahupun basikal jadi kalau la takde barang yang nak dimasak kat rumah macamana?

Pusing punya pusing dekat Giant, bukit antarabangsa ni tetiba saya teringat resepi sosej masak paprik yang saya reka ritu. Sedap juga sebab sosej ni dah memang ada rasa tersendiri jadi tak ambil masa lama la untuk kita masak.

Jadi saya share la resepi ni untuk diri sendiri dan korang semua. Jangan risau gerenti sedap punye!

Ok … jom kita masak sama2

Bahan2nya
6 batang sosej daging (saya potong serong)
2 ulas bawang putih (saya hiris)
1 biji bawang belanda (saya hiris)
4-6 biji api (saya patah2kan aje)
2-3 helai daun limau purut
Sebatang serai (saya ketuk2 je)
2-3 sudu makan cili kisar
2 sudu makan cili sos
2 sudu makan tomato sos
1 sudu makan sos tiram
Brokoli
Bunga kobis
Karot (saya potong memanjang macam batang mancis)
1-2 cawan air
Sedikit kicap pekat (kalau nak paprik ni color gelap sikit)
Sedikit tepung jagung (nak pekatkan kuah)

Cara2nya

1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih dan bawang belanda hingga layu. Kemudian masukkan cili kisar dan tumis sehingga pecah minyak dan diikuti dengan kicap tiram, sos cili dan sos tomato. Agak2 dah masak...

2. Masukkan air, serai, cili api, karot, bunga kobis dan sosej. Masak hingga kuah mendidih. Kemudian masukkan brokoli dan bancuhan air tepung jagung. Masak sekejab sebab tak mahu brokoli tu lembut sangat.

3. Akhir sekali suai rasa dan taburkan daun limau purut.

Dah siap, budak2 pun boleh masak .. kan.

Saya masak ikut hati je..andai kata resepi ni tak berapa nak sedap, maaf tau. Misal kata korang ada idea lagi best..share2 la dengan saya ye!

Selamat mencuba. I love you!

Tuesday, 28 February 2017

Resepi Sardine masak Tom Yam ala Thai

Assalam semua

Siapa suka makan tomyam? Saya dan suami suka sangat lebih2 lagi tomyam seafood…baik lah kali ni saya nak share satu resepi yang saya jumpa dekat fb:nurul balqis klik sini
Saya tak pernah pun terfikir yang sardine dalam tin ni boleh dibuat tomyam. Kata kawan2 saya orang Thai ni kreatif, resepi mereka memang jenis tak masuk akal. Bila saya cerita pada suami dia pun pelik. Ntah2 korang yang baca ni mesti dah pernah masak…saya pula yang ketinggalan.

Apa2 pun saya share jelah resepi ni untuk kegunaan saya dan pada korang yang baru2 nak cuba buat ok..

Jom kita masak

Resepi ni untuk 4 orang tau
2 tin sardine (saya suka sardine Agro Mas)
5 batang serai
Lengkuas sebesar ibujari (rasanya)
5 biji cili api (saya beli yang merah2 tu)
2-3 biji limau nipis
6 helai daun limau
2 paket Tom Yam adabi
Sayur sawi
Cendawan tiram
Air bersih secukupnya

Cara2 dia
1- Selalunya serai tu saya ketuk2 je. Tapi dalam resepi ni selain diketuk2 serai tu dipotong tipis menyerong. Risau juga takut nanti suami cakap ‘banyaknya sampah’ tapi nasib hari tu dia ok. Sedap sangat agaknya. Lengkuas dan cili api tu diketuk2 je (haa..ikut je gambar balqis tu)

2- Seterusnya jerang air (sukatan dia lebih kurang 2 tin sardine tu) dalam periuk kemudian masukkan serai dan lengkuas.

3- Step seterusnya masukkan paste tom yam dan sardine beserta dengan kuahnya sekali. Kacau berlahan2 takut nanti ikan2 sardine tu pecah pula.

4- Kemudian perahkan limau nipis dan masukkan sawi, cendawan, cili api dan daun limau. Masak hingga kuah mengelegak ye.

Haaa….siap sudah.

Sumpah memang sedap. Saya sampai tak sempat nak goreng telur dadar tau, bila tengok suami dah siap sendukkan nasi kedalam pinggan…macam tak makan 10 hari!!!

Maaf la kalau resepi ni tak lengkap dan tak sedap. Kalau ada yang sudi nak share resepi stail masing2 boleh je..saya suka.

By the way..terima kasih pada adik nurul balqis tau sebab share resepi yang heaven ni.

Love you!


Thursday, 23 February 2017

Nasi Kerabu Mek Yan


Saya memang suka makan nasi kerabu tapi selalunya saya beli sebab memang tak reti nak buat. Suami pula jarang2 nak makan.

Jadinya saya carilah member kelante dan belajar cara2 nak buat nasi kerabu stail dia lah. lain orang lain caranyakan. Jadi resepi dio ni kira simple dan mudoh la.

Jom kita buat sama2
1. Nasi kerabu

Beras dibersihkan kemudian ditanak bersama daun limau purut, bunga telang, serai dan halia. Saya guna pewarna biru je.


2. Sambal kelapa atau Kelapa goreng

½ kelapa parut (disangai hingga keperangan)
1-2 ekor ikan sardin atau selar
4-5 biji bawang merah (diracik2)
1 batang serai

Cara2
1) rebus ikan bersama asam keping hingga masak. Kemudian lerai2kan isikan (macam buat laksa tu).
2) campurkan isi ikan bersama kelapa goreng dan tumbuk bersama bawang merah hingga hancur.
3) gaulkan semua bersama serai racik.


3. Sambal cili atau Tumisan


Santan dari 2 biji kelapa
Gula Melaka

Asam keping

Bahan2 kisar
Segenggam cili kering (dipotong2 kemudian rebus hingga masak)
4 biji bawang besar
5-6 ulas bawang putih
1 cm halia
Sebatang serai

Cara2
1) tumis bahan2 kisar dengan minyak yang banyak sehingga pecah minyak.
2) kemudian masukkan santan dan masak lagi. Seeloknya jangan dikacau selalu agar sambal tu nampak berketul2.
3) masukkan serai, gula melaka dan asam keping. Masak sehingga kuah pekat.


4. Ikan goreng

Ikan sardine atau selar
asam keping
serbuk kunyit
garam

Cara2
1) rebus ikan bersama asam keping. Kemudian toskan airnya
2) setelah itu gaulkan ikan rebus tadi dengan garam & kunyit
3) goreng sehingga garing (tak perlu lama sebab ikan dah siap masak)


5. Sambal cili

Cili merah
belacan
asam jawa, 
limau nipis, 
garam & gula. 

Cara2 
Kisar semua bahan


6. Budu

½ cawan budu
2-3 sudu besar air asam jawa
Sebatang serai (diketuk)

Cara2
Semua bahan dimasak bersama hingga mendidih


7. Solok lada (Hari tu saya tak sempat nak buat tapi kalau ada lagi best)

Bahan2 adalah sama seperti membuat resepi kelapa goreng cuma kelapa parut tidak digoreng. Gaulkan kelapa parut bersama sebiji telur dan bahan2 lain kemudian disumbat kedalam cili atau bendi. Kukus sehingga masak. 

Selamat mencuba!

Wednesday, 25 January 2017

Cuba la Resepi Kimchi Saya yang simple ni

Assalam sahabat-sahabat semua,

Emm...disebabkan saya dah buat Bibimbap Klik sini, ramai pula yang menanyakan resepi kimchi. Jujur saya memang tak reti dan tak pernah cuba buat pun benda alah, kimchi ni. Kalau pergi makan direstoran korea benda alah ni memang wajib ada, betul tak?. Kebetulan suami saya juga suka meratahnya.

Dari sehari kesehari saya nak buat tapi macam tak confident..tapi bila ada yang beria-ia menanya saya jadi serba salah. Nak taknak saya pun baca semula diruang komen bibimbap tu, nasib ada sahabat2 yang dengan rela hati sudi sharekan resepi dorang. Terimakasih banyak2.

Tapi resepi yang saya nak sharekan ni pula saya dapat setelah saya google, study bahan2 dalam kimchi tu dan....nak bagitahu ni, sebab nak sangat belajar buat kimchi ni, saya tuntut ilmu dengan casher mini market korea dekat Ampang hilir. Bila tengok kita macam berminat, dia pula jadi happy nak mengajar. Alahh, lebih kurang macam dia nak belajar buat kuih keria sira gula melaka hihihi

Dekat kedai ni ada 2 jenis sos ikan. Kalau kata kita nak buat kimchi kobis ada sosnya dan kalau kita nak try buat kimchi lobak/carrot putih pula ada sosnya. Tapi saya tak beli pun sebab dirumah dah ada sos ikan.

Dan saya rasa resepi kimchi ni gerenti jadi sebab en. suami kata sedap!

Resepi kimchi ni yang paling simple dan yang paling mudah untuk saya buat (sebenarnya hihihi). Jom kita buat sama2 ok!

Note : Ada sahabat yang tanya kalau-kalau nak guna resepi saya bagi tujuan berniaga, saya tak kisah..ikhlas saya halalkan.   

Bismillahirrahmanirrahim ..
 
Langkah atau step pertama, belah 2 kobis Napa yang besar dan gemuk2 tu dan potongkan kepada kepingan2 selebar 2cm dan panjangnya lebih kurang 6cm. Dah siap, masukkan kedalam mangkuk besar.

Campurkan 1 1/2 cawan air bersih dan 5 sudu besar garam. Bancuh dan campurkan kedalam mangkuk berisi kobis tadi. Biarkan selama 10 minit atau 1/2 jam. Rasa2nya proses ni untuk lembutkan kobis tu kot!...


Ni pula bahan2 paste kimchi. Sukatan saya ni untuk kobis yang sederhana besar tau.
Didalam mangkuk berasingan isikan

4-5 sudu makan serbuk cili Gochugara
1 biji fuji apple/pear

(Serbuk cili gochugara dan apple fuji tu saya beli dekat ampang hilir (yela dah borak lama tanya resepi kimchi sekurangnya beli la sikit barangkan..sok2 boleh tanya lagi hihihi)

1-2 sudu makan gula pasir
4-5 sudu makan sos ikan
8 ulas bawang putih cincang halus (kalau rasa macam banyak boleh kurangkan tau!)
1cm halia cincang halus
1 biji cili merah
3-4 helai daun bawang
sedikit bijan


* Daun bawang, apple atau pear tu dipotong memanjang ala2 batang mancis. 



Cara2 nak buat kimchi senang je ...
1. Setelah kobis tadi mengecut, cuci bersih seelok2nya 2-3 kali dan toskan betul2 airnya. Waktu ni kita boleh la koyakkan sikit kobis tu untuk rasa masinnya. Sementara menunggu kobis tu kita buat paste kimchi.
2. Senang saje, lepas siapkan bahan2 paste tu kita gaulkan kesemuanya. Jangan lupa rasa sikit dulu, biar sesuai dengan selera kita. Kimchi ni ada rasa masin sikit, manis sikit, pedas sikit haa. Kalau sukatan saya tu agak pedas, minta maaf ye!

Kemudian boleh lah dilumur kepada kobis yang kita toskan tadi sehingga rata. Saya guna sarung tangan transparent ni sebab nakkan ianya betul2 cover pada kobis tu. Urut perlahan2 kobis ni...takut terkoyak la pula hihihihi
3. Setelah berpuashati dengan hasil gomoi tadi kita penuhkan bekas dan tutup rapat supaya tidak terdedah pada udara. Saya biarkan sekejab bekas ni diluar kemudian boleh la disimpan didalam peti sejuk. Kalau ikut resepi yang saya google tu, kimchi ni dah boleh dihidang dan terus makan waktu tu juga. Senangkan.

Stori sikit

Waktu belajar buat kimchi dekat korea dulu resepi cikgu putih gebu tu lain sikit. Saya tak ingat sukatan dia tapi bahan2 dia memang tak sama.


Bahan-bahan lain
Kobis Napa 
(Kobis napa korea selalunya gemuk2 ye beza dengan kobis dari Cina. Kalau nak beli kobis gemuk2 ni boleh beli dekat mini market korea area Ampang Hilir)
Garam
Air
Lobak putih
Daun bawang


Bawang putih cincang

Serbuk cili atau nama korea dia Gochugaru
Gula
Bijan
Sos ikan
Cencaluk korea atau Saeujeot
Bancuhan air tepung beras atau chapssalgaru

Cara buat lebih kurang sama dan cikgu tu pesan kimchi ni boleh dimakan selepas 3 hari. Jadi lepas 3 hari (waktu tu dah balik malaysia) saya pun try makan. Memang tahan berbulan dan sedap.

Untuk peminat setia kimchi saya minta maaf kalau resepi ni tak sesedap seperti yang diharapkan tau...saya pun dalam proses belajar lagi ni, nanti kalau ada masa kita cuba resepi yang lain pula. 
kalau ye pun sedap kimchi hakak ni, jangan la buat muka camni dek..


Saranghae .... Love you!